Laugh out loud

Welcome to this page

Everything start with a dream. Feel Lucky to read all the entries here..

StopGlobalWarming.org

22 March 2008

PENANAMAN ASPARAGUS TANAH RENDAH

PENDAHULUAN:
Asparagus (Asparagus Officinalis) ialah sejenis tanaman sayuran jangka panjang yang berasal dari kawasan Timur Mediterranean. Kini asparagus banyak ditanam di negara-negara lain termasuk di kawasan tropika. Di kawasan hawa sederhana, sayuran ini tidak mengeluarkan sulur di musim sejuk, tetapi sebaliknya sulur akan keluar di musim bunga dan musim gugur. Sulur inilah dipungut sebagai sayuran. Di Malaysia didapati tanaman asparagus mengeluarkan sulur di sepanjang tahun. Sulur-sulur yang tidak dipungut akan membesar dan mengeluarkan daun.
Tanaman asparagus ini baru diperkenalkan beberapa tahun lalu di negara ini dan didapati ia semakin digemari. Kawasan-kawasan yang banyak ditanam dengan asparagus ialah di Sabah, Pahang, Perak dan Melaka. Petani-petani semakin berminat menanam tanaman asparagus ini disebabkan harga yang ditawarkan agak tinggi.
KANDUNGAN ZAT PEMAKANAN
Asparagus mempunyai nilai pemakanan yang agak tinggi kerana ia banyak mengandungi vitamin (Vitamin A, B1, B2 dan C) dan zat-zat galian (Kalsium dan besi). Aspargagus segar mengandungi 92 peratus air dan 8 peratus protin, gula dan selulosa.
KEADAAN POKOK
Pokok asparagus tumbuh menegak sehingga lebih kurang 2 meter tinggi dan bercabang-cabang. Daunnya halus seperti jarum, keluar dari bahagian bukunya. Bilangan daun di setiap buku ialah di antara 5 hingga 12 tangkai. Kebanyakan akar tersebar 30 cm di bawah paras tanah. Pucuk pada rizom akan tumbuh menjadi sulur dan keluar di permukaan tanah. Pada pokok matang, sulur boleh dipungut 3 hingga 5 hari selepas keluar dari tanah.
JENIS-JENIS ASPARAGUS
Jenis asparagus yang sesuai dan berpotensi ditanam di tanah rendah ialah Mary Washington, Califonia 309 dan UC 157. Bagaimanapun hasil penyelidikan mendapati jenis Mary Washington senang diserang penyakit.
KESESUAIAN IKLIM DAN TANAH
Iklim:
Semasa menyemai, biji benih asparagus memerlukan suhu di antara 150 hingga 300 C untuk mendapatkan percambahan yang tinggi. Suhu semasa menanam di ladang hendaklah di antara 220 hingga 20 C di waktu siang dan 170 hingga 220 C di waktu malam.
Tanah:
Tanaman asparagus boleh ditanam di atas semua jenis tanah. Ia hidup subur dan boleh mengeluarkan hasil yang tinggi di atas tanah jenis ringan seperti lom berpasir atau lom berkelodak yang kaya dengan bahan organik serta tidak bertakung air.Tanaman ini sesuai ditanam di tanah yang mempunyai pH di antara 5.5 hingga 6.7. Sekiranya pH tanah kurang daripada 5.5, sebanyak 2 hingga 3 tan kapur sehektar perlu ditabur.
PENANAMAN
Penyediaan Tanah:
Bersihkan kawasan daripada rumpai kemudian bajak sedalam 30 cm bersama-sama dengan baja organik dan kapur. Buat batas yang berukuran setinggi 15 cm hingga 20 cm, lebar 80 cm hingga 180 cm dan 20 m hingga 50 m panjang.
Penyediaan Anak Benih:
Biasanya asparagus ditanam daripada biji benih. Ia juga boleh ditanam daripada keratan rizom. Bagi setiap hektar kawasan sebanyak 1.5 kg biji benih diperlukan. Biji benih ini disemai terus ke dalam petak semaian atau polibeg (campuran tanah mengandungi 3 bahagian tanah lapisan atas, 2 bahagian pasir dan 1 bahagian bahan organik). Sebanyak 2 hingga 3 biji benih disemai di setiap polibeg. Biji benih akan bercambah dalam masa 1 hingga 2 minggu. Peringkat semaian mengambil masa 2 hingga 3 bulan.
Menanam Ke ladang:
Biasanya asparagus ditanam di atas batas. Batas boleh dibuat sebelum atau selepas menanam. Ukuran batas ialah di antara 80 cm hingga 180 cm lebar dan tinggi sekurang-kurangnya 15 cm hingga 20 cm. Anak benih ditanam sedalam 15 cm. Asparagus juga boleh ditanam di atas tanah rata yang telah dibajak. Batas dibuat di peringkat pokok sedang membesar dengan menaikkan tanah beransur-ansur.
Menanam di dalam alur dan dengan menggunakan rizom sesuai bagi kawasan kering. Cara begini didapati akar dan pokok lebih tegap. Alur dibuat sedalam 15 hingga 20 cm, lebar antara 15 hingga 20 cm dan jarak antara atur ialah 160 cm. Anak benih ditanam sedalam 10 hingga 15 cm kemudian timbus secara beransur-ansur ketika pokok membesar. Sekiranya menggunakan rizom, timbus dengan tanah setebal 5 hingga 8 cm.
Jarak Tanaman:
Asparagus boleh ditanam dalam sebaris atau dua baris berpasang. Jarak tanaman bagi cara sebaris ialah 30 cm antara pokok dalam barisan dan 120 cm hingga 150 cm antara barisan. Bagi cara dua baris berpasang pula, jarak antara pokok dalam barisan ialah 30 cm dan jarak antara barisan ialah 45 cm. Jumlah pokok yang boleh ditanam dalam sehektar kawasan ialah lebih kurang 20,000 pokok.
PENJAGAAN
Menyiram:
Penyiraman yang lebih kerap perlu dijalankan di peringkat awal pertumbuhan dan sekiranya cuaca panas. Sungkupan diperlukan untuk menjaga kelembapan serta suhu tanah disamping mengawal rumpai.
Membaja:
Bagi tanah yang tidak subur tambah baja organik seperti tahi ayam, tahi lembu dan lain-lain sebanyak 25 tan sehektar setahun. Bagi kawasan sederhana subur pula sebanyak 2.5 tan baja sehektar diperlukan dan digaul di lapisan atas batas atau alur penanaman.Pembajaan baja bukan organik yang disyorkan bagi tanaman asparagus ialah seperti berikut:
Contoh Jenis Baja Yang Boleh Digunakan DalamProgram Pembajaan Asparagus

Pemangkasan
Cantasan dilakukan 3 hingga 4 kali setahun mengikut keadaan pokok. Batang matang dicantas ke paras tanah dan tinggalkan 3 hingga 4 batang sahaja disamping sulur baru yang sedang membesar yang akan dipotong sebagai hasil segar. Bagi sulur muda yang tidak sesuai dikutip dibiarkan membesar seterusnya mengeluarkan daun.
Memungut Hasil:
Hasil pertama boleh dikutip selepas 8 hingga 10 bulan ditanam. Hasil meningkat bila pokok berumur 4 tahun. Tanaman Asparagus boleh mengeluarkan hasil sehingga 15 ke 20 tahun sekiranya pokok dijaga dengan sempurna.
Asparagus dipungut dalam dua bentuk, putih atau hijau. Asparagus hijau digunakan sebagai sayuran segar dan yang putih ditinkan. Asparagus putih didapati dengan menambus sulur yang baru keluar dan membiarkannya membesar di dalam tanah. Pokok-pokok yang tidak ditimbus dipungut sebagai asparagus hijau.
Pemungutan hasil dibuat dengan memotong sulur muda yang berukuran lebih kurang 25 cm panjang, di bawah paras tanah. Kutipan hasil yang terlewat menjadikan sulur panjang meruncing, berserabut dan hujung sulur.
Jumlah hasil yang dipungut bergantung pada jenis iklim, tanah dan kekerapan memungut. Di kawasan tropika, asparagus mengeluarkan pucuk di sepanjang tahun. Oleh yang demikian, hasil yang didapati di kawasan ini dijangka melebihi daripada di kawasan beriklim sederhana.

No comments: