UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
KERTAS CADANGAN PENYELIDIKAN
TAJUK: PENGARUH PENCEMARAN VISUAL TERHADAP NILAI ESTETIKA DI PUSAT BANDARAYA KOTA KINABALU
NAMA: MAXIMILIAN FEDILIS
NO. MATRIK: HA2005-6501
PENYELIA: EN. ALIAKHBAR GULASAN
1. PENGENALAN
Pembuangan bahan-bahan buangan secara tidak terkawal boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang tidak sesuai kepada kehidupan di persekitaran kita. Bahan-bahan yang tidak sesuai ini dipanggil bahan-bahan pencemar. Kebanyakan pencemaran yang berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia.
Kita biasa mendengar mengenai pencemaran udara, air, tanah, bunyi dan industri. Sekarang kita ada pencemaran visual. Wujudkah jenis pencemaran ini dan bagaimanakah bentuk pencemaran ini? Pencemaran visual merujuk kepada elemen pada lanskap yang memberikan pandangan yang tidak menarik. Elemen ini yang terdapat dan bersepah di persekitaran kita adalah termasuk papan iklan yang bersaiz gergasi, pengiklanan jenis sederhana, lampu jalan, tanda isyarat, rantaian wayar telefon dan elektrik, pusat janakuasa elektrik, grafiti, lalang, sampah, bangunan dan kenderaan terbiar.
Bahayanya pencemaran visual ini adalah berdasarkan pada pandangan orang awam terhadap kesan negatif yang dibawa oleh pencemaran ini. Sebagai contohnya bentuk lanskap sesebuah bandar diidentifikasikan oleh masyarakat berdasarkan nilai-nilai keindahan, bentuk pembangunan dan sebagainya. Namun, keunikan karekter bandar atau bandaraya berevolusi dengan sejarah, budaya dan pembangunan ciri lanskap perlahan-lahan hilang akibat daripada kita yang telah menerima secara total pencemaran visual yang mendominasikan dan merosakkan persekitaran. Secara umumnya, pandangan lanskap kini dipengaruhi oleh elemen-elemen pencemaran visual dan bukannya pada nilai-nilai estetika semulajadi atau buatan yang bercirikan pemandangan yang menarik.Pencemaran Visual merupakan pencemaran yang baru mendapat tempat memandangkan keadaan pencemaran visual kini semakin teruk. Pencemaran visual amat ketara berlaku dikawasan bandar. Pencemaran visual merupakan pandangan yang tidak menyenangkan dikalangan masyarakat yang memandang keadaan tersebut. Ia sama ada boleh membahayakan kesihatan, keselamatan, harta benda dan menghalang manusia menikmati hartanya atau keadaan kehidupan dengan baik.Walaubagaimanapun, kajian ini mengambil kira mengenai pencemaran visual yang melibatkan pelbagai jenis bentuk pengiklanan seperti papan iklan ataupun kertas pelbagai saiz.
2. PERMASALAHAN KAJIAN.
Terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan kajian ini antaranya adalah:
2.1 Isu berkaitan dengan pencemaran visual
2.2 Pengaruh pencemaran visual terhadap nilai estetika
Isu-isu ini memerlukan pengawalan secara berterusan untuk menjamin kemampanan pembangunan dari segi persekitaran bandar dan nilai estetika. Kawalan terhadap pencemaran ini diperlukan bagi mengawal isu ini memudaratkan nilai estetika kawasan bandar dan memberikan pandangan negatif kepada pelancong asing.
3. KERANGKA PENYELIDIKAN
3. 1 SKOP KAJIAN.
Skop kajian ini merangkumi beberapa perkara seperti berikut:
3.1.1 Skop utama kajian ini adalah untuk mengkaji dan menganalisa pengaruh semasa pencemaran visual ke atas nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah.
3.1.2 Seterusnya mengenalpasti bentuk pencemaran visual yang kerap berlaku di pusat Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah.
3.2. KAWASAN KAJIAN.
Kawasan kajian bagi kajian ini terbahagi kepada tiga kawasan utama di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu iaitu kawasan Segama , Kg. Air dan Gaya Street.
3.3 HIPOTESIS.
3.3.1 Pencemaran visual mempengaruhi nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
3.3.2 Tempat tumpuan pencemaran visual mengikut bentuk iklan terdapat di kawasan tumpuan orang awam di pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
3.4 OBJEKTIF KAJIAN.
Umumnya, objektif utama penyelidikan ini dilakukan adalah untuk mengenalpasti kewujudan pencemaran visual dan pengaruhnya terhadap nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu mengikut kawasan yang telah dikenalpasti.
3.4.1 Mengenalpasti jenis-jenis iklan yang terdapat di kawasan terpilih di pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
3.4.2 Melihat keadaan semasa dan penguatkuasaan pencemaran visual ke atas nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu berdasarkan analisis.
3.4.3 Melihat bidangkuasa yang dijalankan oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam aspek pencemaran visual.
4. METODOLOGI KAJIAN.
Kaedah kajian adalah satu cara untuk mendapatkan data yang akan dikaji atau dianalisis. Dengan itu, kaedah kajian yang akan dilakukan adalah mendapatkan atau menjalankan kajian terhadap permasalahan kajian yang telah dipilih. Dalam kajian ini, pelbagai cara akan digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai kajian ini.
4.1 Data Primer
4.1.1 Kajian Lapangan / Pemerhatian
Gambar foto kawasan kajian akan diambil dengan cara turun ke lokasi kajian dan juga dengan menjalankan kaedah pemerhatian.
4.1.2 Kaedah Temubual
Kaedah temubual ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat primer dalam menjalankan kajian. Temu bual secara formal sangat penting kerana kaedah ini melibatkan pertemuan diantara pihak-pihak yang terlibat terutamanya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
4.1.3 Borang soal selidik.
Sebanyak 45 edaran borang selidik akan digunakan bagi mengenalpasti pengaruh pencemaran visual terhadap nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
4.2 Data Sekunder
4.2.1 Bahan-bahan Perpustakaan
Membuat rujukan di perpustakaan untuk mendapatkan maklumat berhubung dengan kajian. Antara perpustakaan yang dirujuk untuk mendapatkan maklumat adalah seperti perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Perpustakaan Negeri Sabah. Manakala, bahan-bahan yang akan menjadi rujukan adalah seperti buku-buku rujukan, jurnal-jurnal, majalah dan surat khabar yang mempunyai kaitan dengan tajuk kajian ini.
4.2.2 Kaedah Kajian Pustaka
Kaedah ini melibatkan pengambilan data dari jabatan-jabatan kerajaan untuk mengukuhkan data dan maklumat yang diperlukan dalam menjalankan kajian. Data-data seperti kebenaran mempamerkan iklan serta bentuk pengurusan pencemaran visual yang khusus di kawsan kajian di samping maklumat-maklumat lain yang berkaitan dengan kajian. Di antara jabatan-jabatan kerajaan yang dirujuk adalah seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Alam Sekitar.
4.3 Data Analisis
Analisis data yang dikumpul akan menggunakan software statistik SPSS. Output bagi data analisis soalselidik akan dianalisis secara deskriptif dan beberapa ujian statistik untuk melihat kekuatan hubungan antara pembolehubah-pembolehubah, dan akan dinilai dan dibincangkan dalam bentuk jadual, graf, dan histogram.
5. JANGKAAN KEPUTUSAN
Jangkaan keputusan daripada kajian yang akan dijalankan adalah terdapat pengaruh pencemaran visual terhadap nilai estetika di kawasan kajian. Beberapa cadangan pengurusan akan dicadangkan agar dapat membantu mengurangkan permasalahan kajian ini di samping mengekalkan nilai estetika kawasan pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
6. KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, pencemaran visual adalah merupakan pencemaran yang semakin mendapat perhatian umum memandangkan masalah ini mencacatkan pandangan kita dan mengotorkan alam sekeliling kita. Ini kerana pertambahan pencemaran visual ini pasti akan memberikan tanggapan buruk terhadap sistem pengurusan dan imej Bandaraya Kota Kinabalu.
Oleh itu, kajian yang akan dilakukan ini akan dapat memberikan gambaran penuh pengaruh pencemaran visual terhadap nilai estetika kawasan kajian dengan lebih menyeluruh. Langkah pengawalan pencemaran ini akan dapat diperhalusi lagi.