Laugh out loud

Welcome to this page

Everything start with a dream. Feel Lucky to read all the entries here..

StopGlobalWarming.org

11 April 2008

TESIS BAB 1 PENCEMARAN VISUAL

PENGARUH PENCEMARAN VISUAL TERHADAP NILAI ESTETIKA BANDAR DI PUSAT BANDARAYA KOTA KINABALU.
BAB 1

PENGENALAN

1.1 Pendahaluan
Pembuangan bahan-bahan buangan secara tidak terkawal boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang tidak sesuai kepada kehidupan di persekitaran kita. Bahan-bahan yang tidak sesuai ini dipanggil bahan-bahan pencemar. Kebanyakan pencemaran yang berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia.
Kita biasa mendengar mengenai pencemaran udara, air, tanah, bunyi dan industri. Sekarang kita ada pencemaran visual. Wujudkah jenis pencemaran ini dan bagaimanakah bentuk pencemaran ini? Pencemaran visual merujuk kepada elemen pada lanskap yang memberikan pandangan yang tidak menarik. Elemen ini yang terdapat dan bersepah di persekitaran kita adalah termasuk papan iklan yang bersaiz gergasi, pengiklanan jenis sederhana, lampu jalan, tanda isyarat, rantaian wayar telefon dan elektrik, pusat janakuasa elektrik, grafiti, lalang, sampah, bangunan dan kenderaan terbiar.
Bahaya pencemaran visual ini adalah berdasarkan pada pandangan orang awam terhadap kesan negatif yang dibawa oleh pencemaran ini. Sebagai contohnya bentuk lanskap sesebuah bandar diidentifikasikan oleh masyarakat berdasarkan nilai-nilai keindahan, bentuk pembangunan dan sebagainya. Namun, keunikan karekter bandar atau bandaraya berevolusi dengan sejarah, budaya dan pembangunan ciri lanskap perlahan-lahan hilang akibat daripada masyarakat yang telah menerima secara total pencemaran visual yang mendominasikan dan merosakkan persekitaran. Secara umumnya, pandangan lanskap kini dipengaruhi oleh elemen-elemen pencemaran visual dan bukannya pada nilai-nilai estetika semulajadi atau buatan yang bercirikan pemandangan yang menarik. Pencemaran Visual merupakan pencemaran yang baru mendapat tempat memandangkan keadaan pencemaran visual kini semakin teruk. Pencemaran visual amat ketara berlaku dikawasan bandar. Menjadi isu disini adalah bahawa pencemaran visual merupakan pandangan yang tidak menyenangkan dikalangan masyarakat yang memandang keadaan tersebut. Ia sama ada boleh membahayakan kesihatan, keselamatan, harta benda dan menghalang manusia menikmati hartanya atau keadaan kehidupan dengan baik.Walaubagaimanapun, kajian ini mengambil kira mengenai pencemaran visual yang melibatkan pelbagai jenis bentuk pengiklanan seperti papan iklan ataupun kertas pelbagai saiz.
Menurut Katiman Rostam (1990), perkaitan diantara pencemaran visual dengan geografi muncul apabila terdapat tema yang diterima oleh ahli-ahli geografi umum iaitu geografi sebagai kajian mengenai hubungan manusia dengan persekitarannya. Secara terperinci tema tersebut adalah berdasarkan kepada aspek kepelbagaian ruang. Penyusunan dan pentakrifan bentuk permukaan bumi berdasarkan wilayah-wilayah tertentu dalam geografi terutama geografi perbandaran dapat melihat bentuk pencemaran visual ini dalam ekosistem bandar. Keadaan ini berlaku kerana pengkhususan bidang kajian dalam geografi adalah mengikut keadaan ruang yang berbagai-bagai sifatnya. Selain daripada aspek keruangan, aspek ekologi juga perlu dilihat bagi memastikan pencemaran visual ini secara relatifnya berkaitan dengan geografi. Aspek ekologi memberi penekanan terhadap manusia dan persekitarannya. Ekologi lebih bersifat sains sosial daripada sains fizikal dan banyak persamaannya dengan disiplin sosiologi namun pendekatannya adalah berteraskan geografi (Human Geography - culture, society and space,2000). Dalam suatu sistem ekologi, manusia merupakan sebahagian daripada komponen yang berupaya bertindak ke atas komponen yang lain.
Reka bentuk Bandar memberi tumpuan terhadap aspek-aspek fungsi dan nilai estetika alam bina sesebuah bandaraya. Faktor estetika yang pada tradisinya mendapat perhatian reka bentuk bandar akan lebih bermakna apabila digandingkan dengan pertimbangan-pertimbangan lain bagi mewujudkan persekitaran yang berpandangan nyaman, mudah, dan selesa. Usaha-usaha dan aktiviti reka bentuk bandar boleh menjurus kepada pembentukan satu rangka kerja dasar dan garis panduan yang boleh mewujudkan persekitaran hidup yang diingini dan imej serta identiti bandar raya yang sewajarnya. Seperti mana bandar raya di negara-negara sedang membangun, Kota Kinabalu telah berkembang dengan pesatnya, digerakkan oleh keperluan untuk menjana kekayaan.

1.2 Permasalahan kajian.

Terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan kajian ini antaranya adalah:

Isu berkaitan dengan pencemaran visual
Permasalahan kajian ini berkaitan dengan bentuk pencemaran visual yang terdapat di kawasan kajian. Berdasarkan pemerhatian secara rambang, boleh dikatakan bahawa kawasan kajian tercemar dengan unsur atau elemen pencemaran visual yang utama iaitu poster-poster iklan mencari kerja serta iklan perniagaan secara kecil-kecilan. Selain daripada itu, isu yang berkaitan dengan pencemaran visual adalah mengupas kepada bentuk kawalan yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu terhadap pencemaran visual. Bentuk kawalan ini meliputi kepada undang-undang yang digunakan serta langkah-langkah yang telah dan akan dijalankan.

Pengaruh pencemaran visual terhadap nilai estetika

Pengaruh pencemaran visual terhadap nilai estetika melihat kepada kesan yang berlaku akibat daripada pencemaran visual terhadap nilai estetika. Melihat kembali kepada maksud sebenar nilai estetika iaitu nilai keindahan atau kecantikan sesuatu objek, pencemaran visual mampu memberikan kesan yang negatif kepada nilai estetika kawasan bandaraya Kota Kinabalu kerana asas kepada kecantikan adalah elemen yang terdapat pada Bandaraya itu sendiri.

Isu-isu ini memerlukan pengawalan secara berterusan untuk menjamin kemampanan pembangunan dari segi persekitaran bandar dan nilai estetika. Kawalan terhadap pencemaran ini diperlukan bagi mengawal isu ini agar tidak memudaratkan nilai estetika kawasan bandar dan memberikan pandangan negatif kepada pelancong asing serta orang awam.


1.3 Kawasan kajian.

Bandaraya Kota Kinabalu merupakan ibu negeri Sabah. Bandaraya Kota Kinabalu telah mencapai status sebagai sebuah Bandaraya pada tahun 2000. Daerah Kota Kinabalu terletak di Pantai Barat Negeri Sabah dan meliputi keluasan lebih kurang 350 km persegi. Terdapat beberapa kawasan tumpuan awam dalam daerah Kota Kinabalu iaitu Pusat Bandar Kota Kinabalu, Likas, Inanam, Tanjung Aru, Sembulan dibahagian Selatan sehingga Menggatal dan Telipok dibahagian Utara. Pusat Bandar Kota Kinabalu merupakan kawasan yang paling padat dan pesat membangun.

Walaubagaimanapun, kajian ini lebih tertumpu di kawasan Pusat Bandara Kota Kinabalu. Kedudukan global bagi Pusat Bandaraya Kota Kinabalu adalah pada garis Latitud 5.993350° Utara hingga 5.939790° Utara dan garis Longitud 116.077670° Timur hingga 116.100450° Timur. Namun terdapat tiga kawasan utama kajian yang telah dipilih di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu iaitu kawasan Segama , Kg. Air dan Gaya Street. Kawasan kajian ini merupakan kawasan tumpuan awam dan menitikberatkan aktiviti perdagangan dan perniagaan. Oleh itu, tiga kawasan kajian ini sangat sesuai kerana pencemaran visual lebih memfokuskan kepada kawasan yang menjadi tumpuan orang awam serta terkenal dengan aktiviti yang melibatkan orang awam seperti kawasan kajian pengkaji.

1.4 Skop kajian.

Skop kajian ini merangkumi beberapa perkara seperti berikut:

a. Skop utama kajian ini adalah untuk mengkaji dan menganalisa pengaruh semasa pencemaran visual ke atas nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah.

b. Seterusnya mengenalpasti bentuk pencemaran visual yang kerap berlaku di pusat Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah.

1.5 Hipotesis.

Dalam konteks penyelidikan, hipotesis memainkan peranan sebagai jawapan ramalan kepada sesuatu persoalan. Dalam kajian ini, pengkaji menyatakan dua bentuk hipotesis yang diharap dapat membantu pengkaji menjalankan kajian dengan jelas dan tepat. Dua bentuk hipotesis tersebut adalah seperti berikut:

a. Pencemaran visual mempengaruhi nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

b. Tempat tumpuan pencemaran visual mengikut bentuk iklan terdapat di kawasan tumpuan orang awam di pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

1.6 Objektif kajian.

Umumnya, objektif utama penyelidikan ini dilakukan adalah untuk mengenalpasti kewujudan pencemaran visual dan pengaruhnya terhadap nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu mengikut kawasan yang telah dikenalpasti. Namun masih terdapat beberapa objektif penting yang dapat membantu pengkaji bagi menjadi garis panduan berguna semasa membuat kajian ini.

a. Mengenalpasti jenis-jenis iklan yang terdapat di kawasan terpilih di pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
Jenis-jenis iklan yang terdapat di kawasan kajian dikenalpasti bagi memudahkan kajian dilakukan. Walaupun jenis iklan yang utama menjadi asas kajian adalah iklan bersaiz sederhana namun setiap jenis iklan yang terdapat di kawasan kajian mampu mempengaruhi nilai estetika bangunan dan juga bandar.

b. Melihat keadaan semasa dan penguatkuasaan pencemaran visual ke atas nilai estetika di pusat Bandaraya Kota Kinabalu berdasarkan analisis.

Objektif ini bertujuan bagi memastikan keadaan semasa pencemaran visual yang terdapat di kawasan kajian mempengaruhi nilai estetika. Pemerhatian akan dijalankan di kawasan kajian manakala analisis akan dijalankan apabila borang soal selidik diedarkan di kawasan kajian. Hasil analisis diharap dapat membantu pengkaji mendapatkan hasil yang berkaitan dengan keadaan semasa pencemaran visual.

c. Melihat bentuk bidangkuasa yang dijalankan oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam aspek pencemaran visual.

Pengkaji akan melihat bentuk penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu terhadap bentuk pencemaran ini. Bentuk penguatkuasaan yang telah dijalankan akan dianalisis bagi melihat sejauhmana keberkesanan penguatkuasaan yang dijalankan.

1.7 Kesimpulan

Dalam bab ini, pengenalan mengenai pencemaran visual telah dihurai dan memberikan pengenalan kepada pembaca untuk lebih memahami dengan penyelidikan ini. Oleh itu, dengan adanya kajian seperti ini, masalah yang disebabkan oleh pencemaran ini dapat diatasi dan kajian ini membantu menyelesaikan masalah tersebut. Kewujudan masalah ini menyebabkan pengkaji lebih berminat untuk membuat kajian yang lebih mendalam mengenai nilai estetika dan menulis mengenai isu tersebut.





2 comments:

ixora said...

waaa...
bestnyer...
bgus2...ejaan kena edit lg...aper yg anda cube smpaikan, sgt unik dan nmpk kemas...teruskan usaha anda...
gud luck..

Toilet paper said...

thanks la komen dkt aku punya bab 1tu..kira ok la tu kan..hehe..
kira sebagai panduan penting la tu komen ko tu ixora..hehe